subscribe to RSS

Aku Cinta Padamu...

Posted by Tragedi Mac on Friday, April 2, 2010

Assalamu'alaikum wbt.

"Satu hari, Ezika bertemu Amira di taman. Ezika meluahkan rasa cintanya kepada Amira yang dikenalinya sejak di bangku sekolah. Amira hanya mendiamkan diri. Ezika merasakan dia mempunyai peluang yang cerah untuk bersama Amira. Itulah harapan Ezika untuk bersama dengan orang yang dicintai. Diam Amira menandakan persetujuan. Ezika akhirnya hidup bersama dengan Amira. Namun, cinta yang disulam kasih ini tidak berkekalan. Ezika mulai membenci Amira. Nadia muncul dalam hidup mereka. Perasaan benci Ezika membuatkan dia mula menjauhi Amira. Pada mulanya, Ezika hanya tidur di ruang tamu. Tetapi, akhirnya Ezika meninggalkan Amira dengan lafaz talak. Benci Ezika membuatkan dia enggan bersama Amira."

Drama. Namun, jangan disangka drama sekadar drama. Drama kini banyak diterjemahkan ke dalam kehidupan realiti. Inilah penangan media. Melalaikan remaja hingga melupakan nilai-nilai Islam. Entri pada kali ini lebih bertumpu kepada cinta sesama manusia. Cinta sesama manusia tiada salahnya, andai kasih yang terjalin bertepatan dengan ikatan Allah. Harus diingati, cinta ini hanya suci apabila cinta kepada Allah terlebih dahulu diutamakan.


Ikhlas

Cinta manusia memang tiada salahnya. Sememangnya Allah SWT menjadikan perasaan cinta sebagai fitrah dalam diri manusia. Namun, seperti akal, cinta perlu ditunjukkan jalannya. Cinta berdasarkan iman atau cinta berdasar nafsu.

Mengkaji drama di atas, cinta Ezika dan Amira bukanlah cinta yang tulus, kerana cinta Ezika tidak lain hanya kerana cinta kepada seorang wanita. Bahkan, perlakuan keduanya bertemu di taman sudah menjadi haram. Cinta kepada wanita semata tiada nilainya, kerana apabila timbul cacatnya wanita itu, cinta semakin pudar. Begitu juga halnya jika muncul wanita lain yang lebih 'sempurna' kewanitaannya.

Adapun, cinta yang hakiki ialah cinta yang benihnya iman. Diakari dengan kasih kepada Allah dan RasulNya. Dikukuh dengan dahan restu ibu dan ayah. Lantas, cinta antara bunga menjadi suci. Melahirkan pucuk yang segar dengan kehijauan taqwa. Bahagia sungguh.


Cinta Hakiki

Cinta yang hakiki sememangnya cinta Allah. Namun, cinta tidak berhenti setakat itu. Cinta diteruskan kepada manusia juga. Ungkapan cinta mungkin sahaja digambarkan cinta pria dan wanita. Itulah racun media yang bejaya menyelinap masuk minda remaja kita.

Cinta sebenarnya luas. Cinta Rasul. Cinta Ibu. Cinta Ayah. Cinta saudara. Cinta Guru. Cinta sahabat. Jangan lupa, cinta diri kita. Ingatlah pesan ini, cinta untuk berkeluarga tidak akan berjaya hingga sempurna 2 cinta selepas Allah; cinta Rasul dan Ibu Bapa. Persoalannya, sudahkah kita cintai mereka? Jika ya, anda sudah bersedia untuk mencintai orang lain samada wanita mahupun pria. Jika tidak, siapkan diri dahulu.


Konklusi

Cinta manusia sememangnya ingin diakhiri dengan bersama yang dicintai. Hal ini tidak dinafikan. Malah cinta Ezika yang salah tadipun membuktikan dia ingin bersama Amira atas dasar cinta.

Hadis dari Anas bin Malik riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih beliau berkata, ada seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah SAW. Dia berkata, "Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mencintai orang lain, tapi dia tidak mampu beramal seperti amalnya."
Maka Rasulullah SAW bersabda,
"الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ "
"Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya."

Anas berkata, "Aku belum pernah melihat para sahabat lebih bergembira dengan sesuatu---kecuali dengan Islam--- seperti gembiranya mereka dengan perkataan Rasulullah SAW ini." Anas berkata, "Maka kami mencintai Rasulullah, meski tidak mampu beramal seperti amalnya. Tapi, jika kami bersamanya, maka itu telah cukup bagi kami."

Oleh itu, cinta yang kita pupuk pasti ingin diakhiri dengan bersama yang dicintai. Maka, buatlah pilihan sebijaknya. Andai yang beriman pilihan kita untuk mencintai, insya-Allah hidup akan berkekalan bersama hingga ke syurga. Begitu juga sebaliknya.

Wallahu a'lam.

Cinta = Patuh + Setia

Posted by Tragedi Mac on Friday, March 26, 2010

Assalamu'alaikum wbt. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT atas kurniaanNya yang tidak terhingga dari sekecil-kecil nikmat udara sehinggalah sebesar-besar nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW khatimul anbiya' kerana pengorbanan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam, kita hari ini bergelar, muslim dan mu'min.

Sahabat yang dimuliakan sekalian, Cinta kepada Allah bukan sekadar kata-kata. Cinta kepada al-Khaliq berbeza dengan cinta antara manusia. Cinta kepada Allah adalah satu kepastian nikmatnya. Cinta manusia, ada yang gembira ada yang luka. Penuh dengan ragu-ragu. Pilihlah yang pasti kebahagiannya. Walaubagaimanapun, andalah yang membuat pilihan itu.

Pembaca yang dikasihi Allah SWT, nikmat yang dikurniakan Allah tidak terkira banyaknya. Firman Allah, "Maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu dustakan?". Sungguh kaya dan pemurahnya Allah tanpa mengira agama, ras mahupun kawasan. Semuanya dikurniakan nikmat dengan melimpah ruah. Atas dasar ini, kita seharusnya mencintai Allah SWT. Bahkan, tanpa Allah SWT, kita tidak mungkin mengenal dunia ini. Dialah al-Khaliq yang memberi nyawa kepada manusia. Tidak cukupkah alasan ini untuk kita mencintai Allah???

Cinta kepada Allah tidak sempurna dengan hanya berkata "Aku cinta pada Allah dan RasulNya". Cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW perlu dimanesfitasikan dalam amalan seharian kita. Berkata al-Azhari, "Erti Cinta seorang hamba kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati dan mengikut perintah Allah dan RasulNya." Perintah Allah ini terkandung dalamnya, perkara-perkara wajib dan haram, perkara-perkara disuruh dan ditegah.

Wahai manusia, kita hamba Allah. Allah pencipta kita. Ingatlah, cinta kita kepada Allah bukan cinta tidak berbalas. Cinta kita kepada Allah, ialah cinta yang pasti. Cinta yang penuh dengan bunga-bunga kebahagiaan. Harum redhaNya semerbak menghiasi taman jiwa. Bunga ampunanNya mekar menerima taubat sang hamba. Setiap yang mengunjungi bungaNya dikurnia madu pahala. Sungguh indah cinta ini. Inilah balasan cinta hamba kepada Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT:

"Nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu."
[Ali 'Imran, 3 : 31]


Berkata lagi al-Azhari, "Cinta Allah kepada hambaNya adalah memberikan kenikmatan kepadanya dengan mengurniakan keampunan." Oleh itu, sambutlah cinta ini. Andai selangkah kita kepada Allah, seribu langkah Allah datang kepada kita. Ingat, cinta hanya lahir apabila patuh dan setia diadun bersama menjadi adunan kasih sayang yang utuh.

Wallahu a'lam.

al-Quran Dusturuna.

Posted by Tragedi Mac on Wednesday, March 24, 2010

Assalamu'alaikum wbt. Sahabat sekalian, al-Quran yang mulia adalah firman Allah SWT. Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah, Muhammad SAW, melalui wahyu yang dibawa oleh Jibril as, baik lafaz mahupun maknanya; membacanya merupakan ibadah, sekaligus merupakan mukjizat yang sampai kepada kita secara mutawatir. Allah SWT berfirman:

"Tidak datang padanya kebatilan dari sebelum dan sesudahnya, diturunkan daru Zat yang Maha Bijak dan Terpuji..." [Fushilat, 41 : 42]

Al-Quran adalah kitab yang dijaga dengan penjagaan Allah sendiri. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya, Kami telah menurunkan al-Quran dan Kami pasti akan menjaganya."
[al-Hijr, 15 : 9]


Al-Quran adalah kitab yang mampu menghidupkan jiwa dan mententeramkan hati. Dengan izin Allah, al-Quran mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya; iaitu jalan Zat yang Maha Perkasa lagi Terpuji. Siapa saja yang berkata dengan menggunakan al-Quran, pasti akan terpercaya. Siapa saja yang mengamalkannya, pasti akan beruntung. Siapa saja yang memutuskan hukum dengannya, pasti akan adil. Dan siapa saja yang mendakwahkannya, pasti akan mendapat hidayah ke jalan yang lurus.

Al-Quran adalah sebaik-baik bekal bagi setiap muslim. Lebih-lebih lagi bagi para pengemban dakwah. Dengan al-Quran, hati akan menjadi hidup. Dengannya, semua sandaran akan menjadi kukuh. Para pengembannya akan menjadi seperti gunung yang berdiri kukuh sehingga duniapun menjadi kecil baginya ketika berada di jalan Allah. Dia akan sentiasa mengatakan yang hak, dan tidak takut terhadap celaan orang-orang yang mencela, semata-mata kerana Allah.

Dengan al-Quran, sesuatu yang mudah terumbang-ambing oleh angin lantaran ringannya, akan menjadi lebih berat di sisi Allah, seperti beratnya gunung Uhud kerana dia sentiasa membaca al-Quran; dia membasahi lisannya dengan al-Quran dan jari jemarinya pun menjadi saksi. Seperti itulah para sahabta Nabi SAW mengharungi kehidupan dunia ini, seolah-olah mereka seperti al-Quran yang berjalan. Mereka sentiasa menelaah ayat-ayatnya, membacanya dengan sungguh-sungguh, mengamalkan isinya dan mendakwahkannya.

Jiwa mereka pun tergetar oleh ayat-ayat azab dan hati mereka pun menjadi senang kerana ayat-ayat rahmat. Air mata mereka bercucuran kerana tunduk terhadap kemukjizatan dan keagungannya, serta patuh terhadap hukum-hukum dan hikmahnya. Mereka menerima al-Quran langsung dari Rasulullah SAW sehingga ayat-ayatnyapun menyucuk dalam lubuk hati mereka yang paling dalam. Kerana itu, mereka menjadi manusia-manuisa mulia dan menjadi para pemimpin; orang-orang yang bahagia dan beruntung.

Ketika mereka ditinggal oleh Rasulullah SAW menuju tempat yang paling tinggi di syurga 'illiyyin, mereka tetap istiqamah memelihara al-Quran, sebagaimana wasiat Rasulullah SAW. Maka para penghafaz al-Quran tadi sentiasa berada di barisan paling hadapan ketika melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar. Para pendakwah al-Quran juga sentiasa berada terhadapan dalam segala kebaikan dan paling hadapan dalam menghadapi rintangan di jalan Allah SWT.

Sesuatu yang paling berharga bagi kaum muslim umumnya, dan para pendakwah al-Quran khususnya, adalah bahawa hendaknya al-Quran sentiasa menjadi penyiram hati mereka dan teman setia yang mengiringi setiap langkah mereka. Kerana al-Quran akan membimbing mereka untuk meraih semua kebaikan dan mengangkat kedudukan mereka lebih tinggi dan lebih tinggi lagi. Mereka harus sentiasa memeliharanya di tengah malam dan di penghujung siang, dengan membaca, menghafaz dan mengamalkannya, sehingga mereka menjadi sebaik-baik generasi khalaf, mewarisi generasi salaf yang terbaik.

Wallahu a'lam.

Dipetik daripada,
Min Muqawwimat an-Nafsiyyah al-Islamiyyah

Solat Tiang Agama

Posted by Tragedi Mac on Tuesday, March 23, 2010

"Man, aku tengok kau kerja dari tadi lagi. Rehatlah kejap."

"Ok. Aku pun penat gak ni, bob."

"Huh, kau dah solat belum."

"Hah. Erm... Aku tak boleh solat la."

"Macam mana kau tak boleh solat pulak? Kau kan lelaki."

"Ala. Belum sampai seru nak solat lagi. Lagipun, kaki aku ni sakit. Tak boleh sujud."

"Solatkan wajib, Man."

"Nantilah Bob. Aku solat nanti."


Assalamu'alaikum wbt. "as-Solah 'imad ud-Deen." Solat tiang agama. Agama Islam membawa kesejahteraan kepada seluruh ummat manusia. Keadilan dan kemakrufan yang diajarkan dalam Islam menjadikan masyarakat harmoni. Namun, sekiranya agama ini runtuh, hilanglah segala kemakrufan di dunia ini. Yang berleluasa hanyalah maksiat dan kekufuran. Agama ini runtuh pabila tiang yang mengukuhknnya hilang ataupun retak. Tiang inilah solat. Andai solat tidak dilaksanakan, maka ranaplah agama ini. Andai solat tidak dijaga dengan sempurna, maka agama ini menghadapi retak yang mungkin akan runtuh tidak lama lagi. Firman Allah, "Sesungguhnya, solat itu mencegah dari keburukan dan kemungkaran." [al-Ankabut, 29:45]

Sahabat dahulu...

Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Abu Buraidah dari bapanya, beliau berkata; ketika kami sedang duduk-duduk menikmati minuman di atas pasir, pada saat itu kami bertiga atau berempat. Kami memiliki kendi besar dan meminum khamr kerana masih dihalalkan. Kemudian aku berdiri dan ingin menghampiri Rasulullah SAW. Lalu aku mengucapkan salam kepada baginda, tiba-tiba turunlah ayat tentang keharaman khamr:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar dan judi...,"

sampai akhir dua ayat iaitu:

"Maka berhentilah kamu (daripada mengerjakan pekerjaan itu)"

Maka aku datang kepada sahabat-sahabatku (yang sedang minum khamr) dan membacakan ayat tersebut kepada mereka sampai firman Allah:

"Maka berhentilah kamu (daripada mengerjakan pekerjaan itu)"

Dia (perawi hadis) berkata, "Sebahagian di antara mereka minumannya masih ada di tangannya, sebahagiannya telah diminum dan sebahagiannya lagi masih ada di wadahnya." Dia berkata, "Sedangkan gelas gelas minuman yang ada di bawah bibir atasnya, seperti yang dilakukan oleh orang membekam (gelasnya masih di bibirnya), kemudian mereka menumpahkan khamr yang ada pada kendi besar mereka seraya berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah berhenti."

Abu Daud telah mengeluarkan hadis dari Shafiyah binti Syaibah, dari 'Aisyah ra:

"Sesungguhnya beliau SAW menuturkan wanita Ansar, kemudian beliau SAW memuji mereka dan berkata tentang mereka dengan baik. Beliau SAW berkata, "Ketika diturunkan surah an-Nur:31 (tentang kewajiban memakai tudung, penj.), maka mereka mengambil kain sarungnya, kemudian mengoyakkannya dan menjadikannya sebagai tudung."

Sungguh, sahabat dahulu apabila tibanya satu perintah dari Allah SWT, mereka lantas melaksanakan tanpa sebarang alasan. Walaupun gelas berisi khamr berada di bibirnya, mereka terus membuang ke tanah. Sungguhpun mereka tidak mempunyai banyak harta (kerana infak kepada jalan Allah), mereka tetap menggunakan apa yang ada untuk menjadikan tudung termasuk kain sarungnya. Alaangkah mulianya para sahabat yang sentiasa dengar dan sentiasa patuh kepada perintah Allah dan RasulNya.

Oleh itu, di mana kita berpijak? Atas landasan keimanan ataupun kekufuran? Kufur... neraka jawabnya. Ima... inilah pilahan yang paling bijak. Berbahagialah orang sentiasa berpegang pada tali Allah di dunia dan di akhirat. Yakinlah janji Allah. Solat is our responsibility. How could we be a leader? How could we be a father or mather? And, how could we be a friend if we can't settle our responsibility first. Done your solat.

Wallahu a'lam.

Terpanggilkah aku?

Posted by Tragedi Mac on Monday, March 22, 2010

"Adik! Mari sini kejap. Tolong mak kat dapur nih."

"Ala, tak nak la mak. Penat."

"Marilah. Mak tgh goreng ikan ni. Adik tolong potongkan bawang."

"Suruhlah kakak mak."

"Tolonglah. Nanti mak belikan ais krim."

"Hah, ais krim? Ok, jap lg adik datang."

Assalamu'alaikum wbt. Entri ni entri pertama untuk blog "Jaddidu Deenakum." Boleh dikira sebagai entri perasmian. Atau mungkin boleh dianggap panggilan untuk kita berubah. Pilihan di tangan anda. Sebagai penulis, amat diharap entri ini dijadikan sebagai titik perubahan dalam diri kita. Sekali lagi, pilihan di tangan anda. Firman Allah, "Telah kami tunjukkan kepadanya dua jalan hidup (baik dan buruk)" [al-Balad,90:10]. Juga dalam surah asy-Syams,91 : 8 "...lalu memberikan kepada jiwa manusia kebolehan untuk melaksanakan yang maksiat dan yang taqwa."

"Jaddidu deenakum!" [HR at-Tirmidzi dan Ahmad]. Hadis ini mungkin biasa didengar. "Perbaharuilah agama(iman) kalian!". Kali pertama terdengar atau terbaca, terpanggilkah anda? Baca sekali lagi dengan sekuat hati,
"Jaddidu deenakum!"

Sudah baca, fahamkan makna. Maknanya, kita perlu perbaharui iman kita. Ini bukan kata semata. Ini seruan Nabi SAW yang mengandungi iqtidha'(tuntutan) padanya. Jika tadi, adik terpanggil dengan seruan ibunya kerana ais krim. Sekarang, mengapa anda terpanggil dengan seruan Nabi SAW? Bukan kerana ais krim, sahabat. Pun bukan kerana pangkat, sahabat. Kerana syurga, mungkin. Tapi yang pasti, kerana CINTA. Cinta Nabi SAW yang perlu disambut. Cinta Nabi SAW yang menggigil sakit, saat tiba waktu ajalnya baginda SAW.
"Ummati! Ummati! Ummati!"

Saat nyawa ditarik Izrail, ummatnya Nabi SAW yang diingat. Ummat yang dicintainya disebut. Ummat yang dikasihinya dirisaukan. Dirinya Nabi SAW, tidak dikisahkan baginda SAW akan sakitnya ajal tiba, asalkan ummatnya bahagia.

Oleh itu, kerana CINTA aku pada Nabi SAW, aku sampaikan seruan Nabi SAW. Dan kerana CINTA kepada Nabi SAW, wajibnya kamu menerima seruan Nabi SAW ini.
Perbaharuilah iman kalian! Perbaharuilah iman kalian! Perbaharuilah iman kalian!

Katakan pada diri, "Ingatlah wahai diri, manusia tidak pernah tetap imannya. Melainkan anbiya' dan para Rasul yang sentiasa meningkat. Adapun malaikat tetap imannya. Iblis pula menurun imannya. Kita manusia, antara keduanya, naik dan turun. Allah memberi nikmat kepada kita untuk memilih jalannya. Baik atau buruk. Iman atau kufur. Andai kufur, iblis ikutan kita menuju neraka. Andai iman... Oh, itulah pilihan terbaik. Tidak terungkap dengan imiginasi betapa indahnya syurga menanti, dipenuhi bidadari-bidadari. Inilah pilihanku. Iman, noktah."

Wallahu a'lam.